Friday, September 5, 2008

Lagi-lagi peraturan

Beberapa peraturan pilihanraya mula dilaksanakan hinggalah ke pilihanraya kali ini. Tetapi, peraturan itu tidak pula seragam bagi semua universiti. Namun persoalannya tetap sama ada paradoks dalam pendekatan, konsep dan kandungan sebahagian daripada peraturan itu.
Pilihanraya kampus memerlukan peraturan. Tetapi, peraturan tidak perlulah terlalu banyak. Kini, peraturan begitu banyak hingga satu-satunya peraturan yang belum dilaksanakan seperti calon dikenakan memakai pakaian seragam. Jika peraturan ini diadakan, maka lengkaplah percubaan pihak tertentu untuk menjadikan mahasiswa saling tidak tumpah seperti pelajar sekolah menengah.
Tidak paradoks. Kita ingin mahasiswa dewasa, tetapi kita memperbudakkannya. Kita ingin mahasiswa berfikir di luar kotak, tetapi kita memperkotakkannya.
Kita ingin meningkatkan penyertaan mahasiswa dalam pilihanraya kampus, tetapi kita mengenakan syarat supaya calon mesti mempunyai Purata Gred Kumulatif Terkumpul (CGPA) yang tinggi. Syarat mempunyai CGPA tertentu adalah wajar kerana mahasiswa gagal peperiksaan atau lulus dengan markah rendah tidak sesuai menjadi pemimpin, kerana pemimpin adalah model.
Soal calon lemah akademik akan menanggung risiko jika menang MPP mungkin tidak timbul. Jika mahu menjadi pemimpin perlu berani menanggung risiko. Malah, calon yang tinggi CGPA pun belum tentu tidak menanggung risiko.
Tetapi, tidak perlulah syarat CGPA terlalu tinggi. Pilihanraya kampus bukannya latihan akademik. Ia latihan kokurikulum, latihan kepemimpinan. Ada mahasiswa CGPAnya tidak tinggi, tetapi bakat kepemimpinannya tinggi. Usahlah menafikan peluangnya cemerlang dalam bidang difikirkan mampu boleh cemerlang. Ada mahasiswa yang CGPAnya tinggi, tetapi bakat kepemimpinannya rendah. Usahlah memaksanya untuk berbuat perkara yang tidak diminatinya.Adakalanya kita tidak mempunyai premis kukuh dalam membuat penilaian dalam hubungan antara prestasi akademik dan kokurikulum.


Profesor Universiti Harvard Harry R. Lewis (2006) dalam bukunya Excellence Without Soul mengatakan, apabila keputusan akademik mahasiswa kurang memuaskan, lazimnya fokus diberikan terhadap kelemahan mahasiswa dan bukan terhadap kerendahan kualiti pendidikan ditawarkan universiti. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti kokurikulum tidak menjejaskan keputusan akademik mahasiswa. Sebaliknya, ia jelas meningkatkan sikap mereka.

Jika mahasiswa tidak seronok dengan pelajarannya, adalah menjadi tanggungjawab universiti memperbaikinya, bukan dengan cara menghadkan kehidupan kokurikulumnya. Menyekat perkara yang diminati mahasiswa bukanlah cara untuk membuat mereka lebih meminati perkara yang lain.

Yang menjadi persoalan ialah kita ingin mahasiswa bersuara, tetapi kita hadkan tempoh masa berkempen. Menghadkannya kepada seminggu adalah wajar kerana kampus dan jumlah pemilih tidak terlalu besar. Tetapi menghadkannya kepada tiga hari adalah keterlaluan.

Kita ingin mahasiswa kreatif, tetapi ada universiti menghadkan poster pilihanraya kepada warna hitam dan putih. Alasannya bimbang digunakan warna tertentu yang dianggap meniru warna parti politik tertentu. Usahlah sampai alergik dengan warna tertentu.

Ada ketikanya kita tidak adil dalam membuat peraturan. Contohnya, mahasiswa kampus tempatan tidak boleh didekati parti politik. Tetapi, mereka memahami politik kampus, termasuk pilihanraya kampus tahu apa sebenarnya berlaku. Malah, mereka menyoal mengapa pula mahasiswa di luar negara digalakkan menyertai parti politik tertentu dan diundang berucap di mesyuarat agung tahunan parti tersebut?Sebahagian peraturan dikenakan ini membayangkan seolah-olah ada pihak tertentu yang seperti takut berhadapan dengan pilihanraya kampus. Adakah kerana takut ada mahasiswa yang propembangkang? Hakikatnya ialah tidak mungkin semua mahasiswa menyokong kerajaan. Jika ada tidak menyokong kerajaan, ini tidak semestinya bermakna menyokong pembangkang. Kalaupun ada menyokong pembangkang, ini adat politik. Inikan pula politik kampus. Ramai mahasiswa menyokong pembangkang apabila meninggalkan kampus dan ramai juga menyokong kerajaan.

Ada Ahli Parlimen parti pemerintah hari ini yang tidak menyokong kerajaan ketika di kampus dulu. Malah, ada sebelum ini pernah menjadi menteri, kemudian menjadi pembangkang tetapi menjadi menteri semula.

Pada masa sama, adakah jaminan bahawa semua dilabelkan proaspirasi itu benar-benar proaspirasi? Apakah tidak mungkin ada yang menyamar? Atau universiti tertentu mengatakan sebahagiannya proaspirasi semata-mata untuk mengelakkan banyak sangat soalan daripada pihak tertentu? Sekiranya ingin memancing sokongan mahasiswa, mesti bijaksana berhadapan dengan mereka. Mesti rajin mendampingi mereka dengan ikhlas dan tulen. Mesti berbahas dengan artikulatif dan persuasif. Menteri yang berani berdebat di kampus cuma segelintir, contohnya Datuk Seri Mohd Nazri Abd Aziz.

Kita bimbang, jika terlalu mengongkong, ada mahasiswa mengambil keputusan untuk aktif di kampus, tetapi menerusi persatuan lain dan bukannya MPP. Apabila ini berlaku, yang rugi ialah kita semua.

Pilihanraya kampus adalah gelanggang latihan kepemimpinan. Berilah mereka ruang untuk menyuarakan idealisme mahasiswa. Sekiranya ada melampaui batas, ambillah tindakan perundangan berasaskan kebenaran dan keadilan. Tetapi, sebelum kesalahan berlaku, berilah kebebasan.Yang penting bukannya keputusan pilihanraya kampus kali ini, sebaliknya memastikan pilihanraya dan politik kampus berperanan secara efektif dalam mencapai salah satu cabaran Wawasan 2020 iaitu mempunyai demokrasi matang.
'Pilihanraya dan politik kampus adalah proses pendidikan demokrasi'.

No comments: